Showing posts with label kaunseling. Show all posts
Showing posts with label kaunseling. Show all posts

Sunday, February 28, 2010

Mangsa Majikan Rakus

SAYA gadis berumur 20 tahun dan dikategorikan seorang yang cantik dan sentiasa menjadi bualan di tempat kerja. Saya baru mendapat kerja dengan gaji lumayan di syarikat perumahan swasta. 

Di pejabat, saya mengenali Kak Intan dan dia memberitahu menginap di kondominium mewah yang dibayar syarikat. Apa yang menghairankan, Kak Intan tinggal serumah dengan bos tetapi memberi alasan bilik berbeza.

Ramai pekerja di pejabat mendakwa mereka sudah lama bersekedudukan, namun tiada siapa berani bertanya kerana boleh membuang sesiapa sahaja yang tidak disukainya.

Satu hari, Kak Intan mempelawa saya tinggal bersamanya kerana menurutnya, bos akan berpindah ke rumah lain. Saya terpaksa bersetuju selepas dipujuk berkali-kali walaupun dalam hati saya masih ada perasaan syak wasangka.

Sepanjang di kediaman itu, Kak Intan melayan saya dengan baik dan menganggap seperti adik sendiri. Selepas dua bulan, bos berpindah balik ke rumah itu dan saya tidak terdaya membantah. Pengalaman hitam saya bermula apabila satu malam Kak Intan mempersiapkan makan malam yang istimewa untuk saya. Tanpa disedari, Kak Intan memasukkan ubat tidur dalam minuman dan pada malam itu bos meniduri saya. Saya hanya mampu menangis mengingati arwah ibu, bapa dan tunang.

Saya ke pejabat setiap hari dan menganggap tiada apa yang berlaku walaupun terpaksa berhadapan dengan bos dan Kak Intan.

Kak Intan memberitahu ada mengambil gambar bogel saya ketika tidur untuk diberikan kepada bos. Dia mengugut saya jangan berpindah atau bos akan memberhentikan saya serta-merta selain menyebarkan gambar bogel itu.

Saya membenci Kak Intan tetapi terpaksa bekerja kerana ia punca pendapatan saya.

Tolonglah Dr, adakah saya patut berhenti kerja? Perlukah saya memberitahu kejadian sebenar kepada tunang saya? Saya takut tunang membatalkan perkahwinan jika tahu mengenai perkara itu.

Saya juga kasihan dengan gadis di pejabat itu yang mungkin menjadi mangsa bos melalui perantaraan Kak Intan. Apa patut saya lakukan? 

Mangsa Bos
Masai, Johor
 
DR simpati dengan nasib menimpa adik. Mereka sepatutnya membimbing dan melindungi adik, bukannya berterusan mengambil kesempatan ke atas kecantikan adik. Kak Intan memang kejam kerana sanggup melakukan apa sahaja untuk kepentingan bos. Bos pula menggunakan kuasanya untuk memuaskan nafsu sendiri.

Situasi adik memang sukar. Jika memilih meneruskan kehidupan seperti sekarang, adik pastinya mendapat gaji lumayan tetapi kehilangan banyak perkara dalam hidup termasuk maruah diri, perasaan takut (gadis lain akan terjebak seperti adik) dan rasa bersalah terhadap tunang. Jelasnya, adik rasa tidak tenteram dalam hidup.

Tetapi, adik punya pilihan iaitu untuk berani melakukan sesuatu bagi memberhentikan lingkaran pusingan kehidupan yang membelenggu diri adik. Ini bermakna, adik perlu berani memilih untuk berpindah atau melaporkannya kepada polis.

Jika pilihan kedua adalah matlamat hidup, adik perlu mengorientasikan diri bahawa adik boleh mendapatkan pekerjaan lain. Adik perlu bersedia untuk tidak mendapat gaji setinggi yang diperoleh sekarang. Namun, jika adik seorang yang cekap bekerja dan ditambah dengan pengalaman kerja yang ada, peluang untuk memperoleh pekerjaan adalah tinggi.

Gunakan keyakinan diri dan pengalaman untuk beralih kerja lain. Setiap perubahan yang dilakukan dengan niat baik pastinya akan mendapat ganjaran yang juga baik.

Nampaknya, sudah berlaku elemen ugutan oleh Kak Intan dan bos terhadap adik dengan mengambil gambar seksi adik. Membiarkan ugutan itu bermakna adik mempersetujui tingkah laku mereka. Ini turut menyebabkan mereka lebih berani bertindak dan menganggap mereka boleh melakukan apa saja sesuka hati. Mengugut dan merogol adalah perlakuan jenayah dan jangan dibiarkan berterusan.

Semakin lama adik berterusan hidup begini, semakin sukar bagi adik untuk memberitahu perkara sebenar kepada tunang.
Jarak masa adik memberitahu tunang mengenai perbuatan bos terhadap adik itu turut memberi kesan kepada sejauh mana adik merelakan perbuatannya itu.

Satu lagi masalah yang adik hadapi iaitu selama mana adik boleh merahsiakan perkara ini.

Oleh itu, lebih baik dia mengetahui perkara ini daripada pengakuan adik sendiri, bukannya orang lain.

Jika tunang ikhlas, dia perlu menyelamatkan adik daripada perlakuan nafsu ganas bos adik itu. Namun, yang paling penting, adik sendiri perlu bersifat ikhlas untuk menyelamatkan perhubungan dengan tunang. Caranya ialah keluar daripada cengkaman Kak Intan dan bos serta memberitahu perkara sebenar kepada tunang. Pilihan adalah di tangan adik. Sering kali keputusan baik memberi kesan yang sukar pada peringkat awal tetapi amat baik dalam jangka masa panjang yang akhirnya menemukan individu pada dirinya sendiri. 

sumber : harian metro

Tuesday, February 23, 2010

AdaKan KaunSeling AgaMa di InterNet


Tidak dapat dinafikan teknologi maklumat melalui internet mencorak senario politik di negara ini.

Internet juga boleh mencorak budaya masyarakat di negara ini. Masyarakat dewasa ini dilanda dengan pelbagai penyakit masyarakat antaranya masalah sosial, penagihan dadah, konflik rumah tangga, dan masalah akidah.

Internet juga digunakan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab untuk melakukan penipuan. Yang kerap menjadi mangsa golongan yang lemah dan mudah terpedaya terutamanya para remaja dan golongan wanita.

Tidak dapat dinafikan pihak jabatan agama Islam serta majlis agama Islam telah pun mempunyai khidmat kaunseling secara konvensional.

Akan tetapi dengan perkembangan teknologi terkini serta cabaran masa kini yang menyebabkan ramai remaja hanyut dengan kelekaan dan kealpaan, tidak dapat tidak, pihak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) serta majlis agama Islam negeri serta jabatan agama Islam negeri haruslah mengambil inisiatif untuk mengadakan perkhidmatan kaunseling dalam talian (online) secara percuma.

Perkhidmatan kaunseling maya ini penting kerana, budaya masa kini, kita dapati golongan remaja kurang berminat untuk mendapatkan khidmat nasihat daripada para ustaz dan ustazah di masjid, surau atau pejabat agama.

Mereka lebih gemar mendapatkan khidmat nasihat daripada kawan-kawan mereka secara dalam talian melalui ruang sembang di alam siber, e-mel dan sebagainya.

Jakim, dan jabatan-jabatan agama Islam tidak seharusnya menumpukan usaha dakwah dan khidmat nasihat di masjid semata-mata.

Mereka haruslah keluar daripada kepompong pendekatan konvensional dengan mengikuti perkembangan teknologi masa kini, demi menyelamatkan generasi umat Islam ketika ini yang hanyut dibawa arus pemodenan, hedonisma, hiburan melampau, pergaulan bebas dan sebagainya.

Apa yang menyedihkan terdapat laman web jabatan agama yang tidak dikemaskini dari masa ke semasa seperti laman web Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (http://www.ns.gov.my/jabatan/jheins/).

Kegagalan ini menunjukkan agensi kerajaan yang berkaitan untuk menjaga kepentingan umat Islam di negara ini tidak begitu bersungguh-sungguh menjalankan tanggungjawab mereka untuk menjaga kepentingan umat Islam.

Jakim bawah kepimpinan menteri yang baru iaitu Datuk Ahmad Zahid Hamidi haruslah mengorak langkah untuk mempelbagaikan lagi perkhidmatan untuk kepentingan umat Islam agar umat Islam dapat dijadikan contoh kepada penganut agama lain di negara ini secara khusus dan dunia secara amnya.

sumber: http://www.malaysiakini.com/letters/83301

Sunday, January 17, 2010

Hati pilu dikhianati rakan



SOALAN

SAYA mempunyai sahabat baik dan bekerja di syarikat yang sama. Kami seperti adik-beradik, malah keluarga saya menerimanya sebagai anak angkat.

Teman saya banyak menimbulkan masalah di pejabat dan nyaris diberhentikan kerana kurang produktif serta tidak menunjukkan minat dalam kerja.

Saya berusaha membantunya supaya dia tidak diberhentikan walaupun terpaksa menerima cacian (ramai tahu sikapnya yang pemalas).

Entah di mana silapnya, dia berubah sikap dan apabila di bawa berbincang, dia menengking, memaki-hamun dan menuduh saya macam-macam. Dia mendakwa saya menyebabkannya tertekan.

Apabila disiasat, ia berpunca daripada orang yang tidak menyenangi persahabatan kami. Bila diberitahu, dia tidak mempercayainya, malah menuduh saya mereka-reka cerita.

Lebih menyakitkan hati, dia mengaku berkawan dengan saya semata-mata untuk kepentingan dirinya, malah dia mendoakan kematian saya.

Justeru, saya membawa diri kerana terlalu tertekan sehingga jatuh sakit dan dimasukkan ke hospital. Sepanjang tempoh itu, saya banyak menerima SMS daripada orang tidak dikenali berbentuk ugutan dan cacian.


Apabila disiasat, SMS itu daripada teman saya, malah saya mendapat tahu dia sudah melakukan perbuatan itu dengan ramai orang. Ini membuatkan saya sukar untuk percaya.

Sehingga kini, dia masih menyalahkan saya tanpa sebarang perbincangan. Perbuatannya itu turut menjejaskan persahabatan saya dengan rakan lain.

Kini, saya lebih gemar menyediri kerana terlalu sakit hati dengan perbuatan kawan baik saya itu.

Saya cuba melupakannya tetapi gagal. Apa pun, saya tidak dapat memaafkan perbuatannya walaupun suatu hari nanti dia memohon maaf.

Bantulah saya bagaimana mahu menghadapi keperitan hidup ini. Saya masih menyayanginya tetapi amat tertekan kerananya.

INSAN TERLUKA,
Dya

JAWAPAN


MELALUI kepahitan persahabatan memang menyakitkan dan melukakan. Apatah lagi, hubungan persahabatan yang dibina dengan kawan baik bagaikan adik-beradik.

Namun, persahabatan sama seperti hubungan lain iaitu perlu melalui banyak pahit manisnya. Kata-kata 'sahabat pada hari ini boleh menjadi seteru pada hari esok' bukanlah sesuatu yang boleh diambil mudah. Adik sendiri melaluinya.

Ada ahli psikologi mengatakan walaupun mempunyai kawan baik adalah penting untuk kesejahteraan kesihatan mental dan fizikal, persahabatan juga boleh membawa kepada perasaan tertekan jika bertukar menjadi permusuhan.

Andaian dan pemikiran bahawa persahabatan antara kawan baik akan kekal selama-lamanya adalah permulaan kepada kegagalan dalam persahabatan.

Adik memulakan persahabatan dengan pemikiran dan jangkaan tinggi hubungan ini akan berjalan manis berjaya.

Justeru, tidak hairanlah adik sanggup berkorban masa, tenaga serta emosi untuk kawan adik itu. Sebagai balasannya, adik inginkan sahabat berkorban untuk adik. Realitinya, apa yang berlaku tidak memenuhi jangkaan.

Itulah permulaan kepada segala tekanan adik. Sahabat yang dijangka membawa sinar dalam hidup rupa-rupanya khianati adik sehingga membawa begitu banyak penderitaan.

Kata-kata bahawa 'persahabatan adalah perisai bagi segala bencana dan segala peristiwa yang terjadi pada setiap zaman' tidak lagi wujud dalam kamus persahabatan adik.

Sikap suka membantu memang baik, tetapi adik perlu bertanya sama ada kawan baik adik selesa dengan pengorbanan dan sikap ambil berat itu.

Kawan adik perlu bertanggungjawab di atas sikapnya di tempat kerja. Terlalu melindungi dan mempertahankan kawan adik boleh memberi persepsi yang salah di pihaknya.

Anggapan bahawa adik sengaja membuatnya tertekan dan mahu memusnahkan hidupnya mungkin datang dari peristiwa di mana adik sendiri tidak tahu puncanya.

Perubahan sikap kawan adik tidak semestinya datang daripada kesilapan mana-mana pihak. Setiap masa dan saat manusia boleh berubah.

Sikap kawan baik yang mengakui mengambil kesempatan dalam persahabatan kalian demi kepentingan dirinya serta mendoakan kematian adik memang sikap tidak bertanggungjawab.

Ketika ini, adik dan kawan baik dipenuhi dengan emosi. Jadi, berilah masa dan ruang untuk adik berdua melihat serta menilai semula persahabatan itu.

Dalam permasalahan diri adik, apa yang perlu dilakukan ialah melihat kepada persoalan serta isu sebenar. Sikap terlalu mengambil berat boleh diakibatkan dari sikap tidak percaya, ingin mengawal dan mengatur persahabatan seperti yang diinginkan.

Persoalan, dalam hubungan persahabatan kalian berdua, adakah apa yang diinginkan oleh adik selari dengan apa yang diinginkan kawan baik adik itu?

Penyelesaian kepada masalah adik berdua adalah satu proses yang berterusan. Akan wujud tangisan dan tawa dalam proses ini. Bersedialah untuk memaafkan dan tidak salah menyalahkan.

Adik juga perlu bersedia berkawan dengan orang lain. Bersahabat dengan ramai orang dan mencari rakan baru mungkin mengubat kesedihan adik.

Dr memahami mengapa adik tidak mungkin dapat memaafkannya sehingga akhir hayat. Tiada siapa yang boleh menangani masalah adik kerana sebagaimana bersedianya adik untuk meneruskan kehidupan, adik akan berasa kepedihannya.

Justeru, adik perlu lalui kesakitan dan kepedihan ini dengan penuh tabah. Dapatkan khidmat kaunseling bagi mengurangkan tekanan atau luahkan kepada orang yang adik percaya.

Apabila hati dan emosi tenang, cuba maafkan kawan adik itu. Kesediaan adik untuk memaafkan kawan baik sesuatu yang mulia kerana Allah merahmati seseorang yang melapangkan tempat buat saudaranya.

Namun, jika adik masih gagal memaafkan dia, anggaplah apa yang berlaku mengajar adik menjadi lebih matang dan berhati-hati memilih sahabat.

sumber: harian metro

aPa iTU KAUNSELING?




PERGERTIAN KAUNSELING

Kaunseling berasal daripada perkataan bahasa Inggeris "counselling" yang boleh difahami oleh semua orang, tetapi mereka mungkin memahaminya dalam pergertian yang berbeza. Dalam pengertian yang luas, sebenarnya setiap orang terlibat dalam aktiviti kaunseling baik secara langsung atau tidak langsung, terutamanya ibu bapa, guru, pemimpin agama, peguam, doktor, jururawat dan juga semua yang terlibat dengan proses mendidik dan kebajikan masyarakat.

Kaunseling bukanlah perkara baru malah manusia selalu melakukan aktiviti rundingcara sesama mereka. Kaunseling merupakan kebolehan seseorang menolong orang lain untuk mengatasi masalah dan mencapai kesejahteraan hidup di dunia. Apa yang ketara kaunseling merupakan alat asas bagi kebanyakan profesional. Secara amnya dapat dikatakan bahawa konsep kaunseling diamalkan di dalam bidang pendidikan, perubatan, agama, kemasyarakatan, pemulihan, perkahwinan dan keluarga.

Kaunseling sebagai satu profesion mempunyai asas yang saintifik dan objektif daripada bidang psikologi, sosiologi, psikiatri, antropologi dan falsafah. Ia tumbuh dan berkembang hasil daripada dapatan penyelidikan tentang perkembangan sahsiah manusia serta teori-teori pembelajaran. Di samping itu, ia juga berkembang daripada situasi, faktor atau keadaan yang kurang saintifik dan kurang objektif. Ini berdasarkan kepada kepercayaan:

* Bahawa setiap individu dapat menentukan matlamat hidupnya dan memberi makna kepada kehidupan masing-masing.

* Mengakui hakikat bahawa hidup ini penuh dengan cabaran dan manusia bertanggungjawab terhadap arah kehidupan masing-masing. Kaunseling merupakan proses bersemuka di antara kaunselor dan klien, iaitu orang yang meminta pertolongan sama ada datang sendiri ataupun dirujuk. Tujuan pertemuan itu adalah untuk mencari alternatif yang paling sesuai bagi klien membuat keputusan menyelesaikan masalah dirinya, di samping mengetahui baik buruk dan kekangan yang akan dihadapi oleh klien atas keputusannya itu.

Kaunseling adalah proses interaksi yang membolehkan individu memahami diri dan situasinya. Proses ini akan mengakibatkan pembentukan atau penjelasan matlamat dan nilai hidup individu itu hingga dia dapat menentukan tindakan yang wajar untuk masa depannya. Kaunseling juga ialah proses pertemuan interaksi bersemuka antara seorang kaunselor dengan klien yang mengakibatkan berlaku perubahan pada klien.

Kaunseling bukanlah bertujuan untuk menolong klien menyesuaikan diri dengan masyarakat, tetapi ia menolong klien memahami dirinya yang sebenar – apa kelebihan dan kekurangannya; apa yang boleh dilakukan dengan mudah; apa yang boleh dilakukan tetapi menghadapi masalah dan apa yang tidak boleh dilakukannya langsung.

Kaunseling dirujuk sebagai proses apabila seorang klien diberi peluang untuk meneroka aspek diri dan kehidupan yang menimbulkan kesusahan atau masalah baginya. Penerokaan ini akan menimbulkan kesedaran tentang diri dan situasinya serta pilihan-pilihan yang ada padanya. Proses ini diharap akan dapat menolong klien itu mengesan halangan-halangan dan mengenal pasti bakat atau kebolehannya untuk hidup dengan lebih sempurna.

Kesimpulannya, kaunseling merupakan proses pertolongan. Melalui proses ini, klien dibimbing membuat keputusan sendiri. Asas bagi proses ini ialah perhubungan antara kaunselor dengan klien atas dasar bahawa kesan perhubungan itu akan menyebabkan klien berubah.




TUJUAN KAUNSELING

Para profesional di bidang kaunseling dan psikoterapi mempunyai pendapat yang berbeza tentang kaunseling dan psikoterapi. Kaunseling mempunyai dua jenis tujuan, iaitu tujuan proses dan tujuan terakhir.

Tujuan atau matlamat proses merupakan yang ingin dicapai dalam masa yang singkat. Tujuan proses terus melibatkan klien di dalam proses kaunseling sehingga kaunselor dan klien bersetuju bahawa klien tidak lagi memerlukan perkhidmatan lanjut. Untuk mencapai tujuan proses ini, pertemuan awal sangatlah penting kerana sekiranya klien tidak merasa selamat atau tidak percaya dengan kaunselornya, maka dia tidak akan mahu meneruskan proses dan perhubungan kaunseling tersebut.

Tujuan terakhir mementingkan hasil atau kesan perkhidmatan kaunseling dalam jangka masa yang panjang. Tujuan terakhir adalah perubahan atau perkembangan yang akan dialami oleh klien hasil daripada perkhidmatan kaunseling. Di antara konsep yang diutamakan ialah kesedaran kendiri, penyuburan kendiri, individu yang berfungsi sepenuhnya dan kesejahteraan kendiri. Tujuan terakhir merupakan persoalan yang dihadapi oleh manusia dan tidak terhad kepada individu yang mempunyai masalah sahaja, bahkan merupakan tujuan setiap manusia yang ingin hidup dengan lebih bermakna, berfungsi dengan sepenuhnya bergerak dan dinamik.

Lima tujuan kaunseling iaitu:

1. Menolong mengubah tingkah laku klien.

2. Menambahkan kemahiran klien mengendalikan kehidupannya sendiri, terutama mereka yang terlalu bergantung kepada orang lain atau terlalu bimbang dan ragu-ragu tentang dirinya.

3. Menambahkan kemahiran klien membuat keputusan pada saat-saat penting. Klien diharapkan dapat menilai sesuatu situasi, membuat pemilihan dengan bijaksana, tahu bagaimana dan mengapa keputusan tertentu mesti dibuat, apakah kemungkinan akibat atau kesannya dan sedia menghadapi sebarang risiko akibat keputusan tersebut.

4. Membaiki perhubungan klien dengan ahli-ahli masyarakatnya. Ramai orang menghadapi masalah dalam perhubungan dengan individu-individu lain. Masalah ini mempunyai hubungan yang rapat dengan konsep kendiri, sama ada konsep kendiri yang rendah atau sebaliknya. Diharapkan proses kaunseling dapat menolong klien meningkatkan kualiti perhubungannya dengan orang lain, misalnya perhubungan dalam keluarga, perkahwinan, rakan sebaya dan seterusnya dalam masyarakat. Perhubungan yang berkesan meningkatkan mutu kesejahteraan kehidupan individu.

5. Membantu perkembangan bakat klien. Kaunselor membantu klien mengenal pasti kebolehan dan bakatnya supaya dia dapat mengambil tindakan yang sewajarnya.

Kaunseling mementingkan perubahan yang tertentu tetapi keseluruhan perubahan pada diri seseorang individu itu hingga menyebabkan dia merasa sejahtera. Objektif kaunseling yang utama ialah untuk memberi inspirasi kepada klien bagi menilai, membuat, menerima dan mengambil tindakan terhadap pilihan atau keputusan yang dibuatnya. Bagi mereka, kaunseling menolong klien mempelajari proses membuat keputusan, sehingga akhirnya dia dapat membuat keputusan tanpa sentiasa mengharapkan bantuan orang lain. Pelbagai tujuan telah diutarakan oleh mereka yang banyak pengalaman, pengetahuan dan kemahiran dalam bidang ini. Satu hakikat yang nyata ialah tujuan itu tidak sama pada semua orang. Di dalam perkembangan proses kaunseling, tujuan bagi seseorang klien itu mungkin diubahsuai dari semasa ke semasa. Usaha membina tujuan mestilah dianggap sebagai suatu tindakan yang tidak kaku, statik atau tetap; dan perlu dibuat penilaian bersama oleh klien dan kaunselor mengikut keperluan klien.

Secara umumnya, bolehlah disimpulkan bahawa kaunseling menolong seorang klien:

* Memahami diri dan situasinya;
* Mengenal pasti keperluannya;
* Menerima realiti hidupnya;
* Membuat rancangan yang realistik untuk mengendalikan hidupnya;
* Bertanggungjawab ke atas diri dan perbuatannya;
* Dan seterusnya menjadi individu yang berfungsi dengan sepenuhnya.

Tujuan terakhir supaya klien bertanggungjawab ke atas diri dan perbuatannya sehingga menjadi individu yang berfungsi sepenuhnya tidak mungkin dapat dicapai dalam masa yang singkat. Ia merupakan tujuan hidup setiap insan yang inginkan kesejahteraan hidup di dunia. Walaubagaimana pun tidaklah dapat dinafikan bahawa setiap klien dan kaunselor mempunyai tujuan-tujuan jangka pendek yang lebih khusus yang ingin dicapai dalam masa yang singkat.

Setiap manusia mesti dilihat menurut konteks sesuatu situasi di antara diri dan situasi yang menimbulkan masalah-masalah berkenaan, difahami bagaimana, mengapa dan kenapa, supaya dapat diterima hakikat yang sebenar dan dapat dibina tujuan-tujuan hidup yang lebih realistik dan lebih bermakna. Jika dilihat dari segi ini, tujuan juga merupakan suatu proses yang dinamik, di dalam perjalanan hidup di dunia ini yang penuh dengan cabaran dan ketidakpastian. Masalah individu yang berhubung dengan kerunsingan, psikologi, peribadi dan ketidaksejahteraan, kebanyakannya berpunca dari dalam diri individu itu sendiri kerana tidak memahami diri dan situasi serta tidak mempunyai jangkaan atau harapan yang realistik terhadap hidup. Persoalan-persoalan asas seperti siapakah aku, dari manakah asalku, apakah tujuan hidupku, siapakah yang menjadikan aku, untuk apakah aku dihidupkan dan seumpamanya sepatutnya diberi perhatian yang wajar.

Diharapkan klien dapat belajar mengendalikan hidupnya sendiri daripada pengalaman dalam proses dan perhubungan kaunseling. Dalam proses kaunseling, klien belajar tetapi kaunselor tidak mengajar. Fungsi kaunselor adalah sebagai ‘pemandu’ yang pada mulanya diperlukan untuk menunjuk jalan dan menemani klien dalam perjalanannya, memahami diri dan situasinya serta mengenal pasti keperluannya. Setelah tujuan ini tercapai, barulah fungsi dan peranan kaunselor tercapai dengan sempurnanya. Semakin berkurangan sehingga sampai klien tidak lagi memerlukannya kerana dia sudah dapat meneruskan perjalanannya sendiri tanpa bantuan daripada kaunselor lagi.

PRINSIP KAUNSELING

Dalam bidang kaunseling, prinsip-prinsip harus diamalkan untuk mencapai tujuan kaunseling. Prinsip dan ciri kaunseling adalah seperti berikut:

1. Kaunseling berkaitan dengan mempengaruhi perubahan tingkah laku secara sukarela dengan kehendak hati klien sendiri. Klien ingin mengubah dan berusaha mendapatkan pertolongan kaunselor untuk mengubah tingkah lakunya.

2. Kaunselor menyediakan keadaan yang memudahkan perubahan klien. Ini termasuklah hak individu membuat pilihan, menjadi bebas dan berautonomi.

3. Seperti dalam semua perhubungan, terdapat batasan pada klien dalam kaunseling. Batasan ini ditetapkan oleh tujuan kaunseling yang dipengaruhi oleh nilai dan falsafah kaunselor.

4. Keadaan yang memudahkan perubahan tingkah laku akan disediakan melalui temu bual. Bukan semua jenis temu bual merupakan kaunseling, tetapi kaunseling selalunya melibatkan temu bual.

5. Aktiviti mendengar berlaku di dalam kaunseling, tetapi bukan semua aktiviti mendengar merupakan kaunseling.

6. Kaunselor memahami kliennya.

7. Kaunseling dijalankan dalam keadaan yang sulit dan bersendirian di antara kaunselor dan klien. Apa yang dibincangkan di antara kaunselor dan klien mesti dirahsiakan.

8. Klien mempunyai masalah psikologi dan kaunselor mahir bekerja dengan klien yang mempunyai masalah psikologi.

Kaunseling harus berasaskan prinsip-prinsip berikut:

1. Pada asasnya, manusia membuat penentuan kendiri.

2. Klien harus maju ke tahap penerimaan kendiri dan pemahaman kendiri yang lebih tinggi.

3. Klien harus mengembangkan tahap kebenaran yang lebih tinggi lagi, khasnya kebenaran tentang dirinya sendiri.

4. Objektif-objektif kaunseling harus berdasarkan keperluan klien dan bukan keperluan kaunselor.

Secara amnya, prinsip-prinsip kaunseling dapat diuruskan seperti berikut:

1. Kaunseling diberi kepada individu-individu normal yang sedang menghadapi masalah atau kerunsingan.

2. Kaunseling merupakan interaksi dan perhubungan di antara kaunselor dan klien berdasarkan kemesraan dan kepercayaan. Kepercayaan adalah faktor penting kerahsiaan dalam kaunseling.

3. Dalam sesi kaunseling, kaunselor menolong klien membuat keputusan dengan mempercepatkan proses membuat keputusan itu. Kaunselor tidak membuat pilihan atau keputusan untuk klien. Hal ini akan menimbulkan perkembangan kebolehan klien untuk membuat pilihan atau keputusan tanpa bergantung pada kaunselor. Kaunselor menolong klien supaya klien dapat melihat segala faktor dalam sesuatu situasi, mengetahui kekuatan dan kelemahan sendiri, serta menjelaskan fikiran yang kabur dan tidak rasional.

4. Orientasi kaunseling haruslah ke arah bekerjasama dan bukannya paksaan. Kaunseling dilakukan dengan cara persetujuan bersama di antara individu yang terlibat. Orang yang dipaksa untuk menerima khidmat kaunseling akan memberontak dan kurang percaya pada orang lain.

5. Kaunselor haruslah sentiasa percaya bahawa setiap individu mempunyai kemampuan bagi kesejahteraan diri sendiri.

6. Kaunseling hendaklah berdasarkan perlakuan, menyedari kehormatan dan harga diri seseorang.

7. Kaunselor percaya bahawa seseorang individu itu haruslah mempunyai peluang yang maksimum untuk memilih matlamat hidupnya masing-masing dan cara untuk mencapai matlamat itu.

8. Kaunseling mestilah berdasarkan etika kaunseling yang baik.

Monday, January 11, 2010

Bilangan pelajar AS sakit mental meningkat


GAMBAR fail menunjukkan pelajar-pelajar duduk di atas rumput di Universiti Yale, Amerika Syarikat pada 11 Oktober 2000.


CHICAGO - Satu kajian terbaru mendapati jumlah pelajar sekolah tinggi dan kolej di Amerika Syarikat (AS) yang mengalami tekanan jiwa dan lain-lain penyakit mental meningkat lima kali ganda berbanding golongan muda seusia ketika Zaman Kemelesetan Ekonomi melanda AS pada tahun 1930-an.

Penemuan tersebut dirumuskan berdasarkan borang soal selidik psikologi yang digunakan sejak 1938.

Ia mengesahkan kebimbangan para kaunselor di AS yang telah lama mengesyaki bahawa semakin ramai pelajar negara itu tertekan dengan alam persekolahan dan kehidupan harian mereka.

"Soalnya sekarang, apakah langkah yang perlu dilaksanakan bagi membantu golongan muda pada masa kini," kata seorang profesor di Universiti Negeri San Diego, Jean Twenge yang juga pengarang utama kajian tersebut.

Hasil kajian itu yang didedahkan semalam akan dipaparkan dalam edisi terbaru jurnal psikologi Clinical Psychology Review.

Diketuai oleh Twenge, kumpulan penyelidik di lima buah universiti menganalisis maklum balas daripada 77,576 pelajar sekolah tinggi atau kolej.

Ia mencetuskan spekulasi di kalangan pakar kesihatan mental bahawa golongan muda di AS berdepan pelbagai tekanan akibat budaya popular yang memberi penekanan pada aspek luaran kehidupan termasuk kekayaan, rupa paras dan status.

"Sejak dari kanak-kanak lagi, kita telah diajar bahawa kekayaan diukur dengan wang dan apabila meningkat dewasa, kita tertekan untuk belajar bersungguh-sungguh semata-mata kerana wang," kata seorang pelajar Universiti Miami, Sarah Ann Slater, 21. - AP


sumber: kosmo